PERANG KASTILAN: MELAYU MENUMPASKAN SEPANYOL.
Pada zaman Sultan Abdul Kahar, Brunei berjaya meluaskan jajahan takluk sehingga ke seluruh pelusuk pulau Borneo, Palawan, Sulu, Balayan, Mindoro, Bonbon, Balabak, Balambangan, Bangi, Mantanai dan Luzon/Lesung. Dengan pesatnya pembangunan dan perdagangan di Brunei maka semakin ramai para pedagang Brunei yang berdagang keluar sambil menyebarkan agama Islam sehingga ke kepulauan Filipina. Pada masa tersebut Brunei dikenali sebagai pusat penyebaran Islam yang terkenal di sebelah timur Laut Cina Selatan selepas Aceh.
Ketika Ferdinand Magellan mula-mula sampai di Borneo mereka tidak berani untuk mengusik Brunei yang dilihat sebagai kerajaan yang sangat kuat, sebaliknya mengalihkan pandangan mereka ke pulau Luzon. Kedatangan Sepanyol di rantau ini dilihat sebagai satu misi keagamaan untuk menyebarkan ajaran Kristian. Gereja Katolik memainkan peranan yang besar dalam ekspedisi mereka. Dalam usaha menyebarkan ajaran Kristian inilah mereka melihat Brunei sebagai penghalang yang paling besar.
Punca kepada konflik diantara Sepanyol dan Brunei bermula atas sepucuk surat yang ditulis oleh Dr Francisco de Sande untuk Sultan. Antara kandungan surat ini adalah ia mendesak Sultan Saiful Rijal supaya tidak menghantar pendakwah-pendakwah Islam ke kepulauan Filipina dan Borneo lagi dan membenarkan paderi katolik masuk menyebarkan Christian di Brunei. Kandungan surat tersebut turut MENGHINA AGAMA ISLAM dengan mengatakan bahawa agama Islam adalah AGAMA SESAT YANG JAHAT dan agama Kristian adalah agama yang sebenar.
Sultan Saiful Rijal amat marah lalu mengoyak-ngoyakkan surat tersebut. Bagi Sultan Saiful Rijal, penghinaan pihak Sepanyol terhadap agama Islam adalah sesuatu yang amat biadap. Jika kita membaca penulisan dari sejarawan barat tentang perkara ini akan kita dapati bahawa mereka menggambarkan yang Sultan Saiful Rijal bertindak agressif tanpa sebab musabab yang munasabah. Sebaliknya kita tahu mengapa Sultan begitu marah dengan Sepanyol, ia adalah kerana Sepanyol dengan terang-terangan MENGHINA ISLAM.
Selain itu tindakan Sepanyol menyerang kerajaan kaum muslimin di Filipina seperti di Luzon, Sulu dan Cebu adalah suatu penghinaan terhadap kedaulatan Brunei sendiri. Hal ini kerana keluarga diraja Sulu dan Luzon adalah bersaudara dengan Brunei iaitu Raja Sulaiman di Kota Selurong (Manila sekarang) dan Raja Lakandula di Kota Tundun. Raja Sulaiman mempertahankan Kota Selurong atau Manila dengan hebat namun baginda syahid pada 3 Jun 1571. De Legazpi berjaya menduduki Manila dan mengisytiharkan Manila sebagai pusat pemerintahan Sepanyol di timur. Keturunan Raja Sulaiman beberapa kali cuba menawan kembali Manila tetapi tidak berjaya. Bermula dari situ, maka satu persatu wilayah Islam di Filipina dihapuskan.
Pada Mac 1578, Dr. Francisco De Sande Kapten Sepanyol di Manila bertolak ke Brunei dengan 40 kapal perang. Ia sampai ke perairan Brunei dan mengutuskan surat kepada Sultan Saiful Rijal meminta baginda menerima pederi Kristian. Baginda tidak menerimanya dan tidak mahu mengalah kepada musuh Islam. Pada 14 April 1578 de Sande melanggar Brunei. Dengan serta merta armada Brunei membedil kapal-kapal perang Brunei yang sebanyak 50 buah.
Askar-askar Brunei yang tidak bersedia tidak dapat berbuat apa-apa apabila armada mereka hangus dan tentera Sepanyol menyerang kampong air. Istana Sultan akhirnya dapat ditawan dan semua harta benda Sultan dan penduduk dijarah mereka. Namun Sultan dan para pengikutnya berundur ke Jerudong. Setelah ke Jerudong Sultan kemudian berpindah pula ke Pulau Raja. Bendahara Sakam yang mengiringi Sultan kemudian kembali ke Brunei dan menghimpunkan pahlawan-pahlawan Islam.
Catatan barat ada menyebut bahawa mudahnya serangan terhadap Brunei oleh Sepanyol adalah disebabkan oleh pembelotan dua orang pembesar Brunei yang tidak berpuas hati dengan Sultan. Pada 1578, Pengeran Bendaraha Sakam memimpin serangan ke Brunei dengan lebih daripada 1000 orang pahlawan. De Sande dapat dikalahkan dan lari meninggalkan Brunei. Pasukannya dikejar sehingga ke Nausung (Sabah).
Dalam catatan pihak Sepanyol tidak disebut langsung mengenai serangan balas yang dilakukan oleh Bendahara Sakam sebaliknya tentera Sepanyol dikatakan terpaksa meninggalkan Brunei kerana mereka mendapat penyakit taun dan cirit-birit sehinggakan ramai diantara tentera mereka mati. Persoalannya adakah pihak Sepanyol sengaja menutup kisah sebenar kerana malu akan kekalahan mereka di tangan kaum yang dianggap mereka tidak bertamadun? Atau mereka memang mati cirit-birit? Saya tinggalkan persoalan ini untuk anda fikirkan.
Sebelum mereka meninggalkan Brunei pihak Sepanyol yang marah dan geram dengan sengaja membakar Masjid agung Brunei. Mereka turut memusnahkan Makam Sultan Bolkiah. Banyak harta rakyat dan Sultan diambil. Pada 4 Mac 1579 Sepanyol datang lagi diketuai oleh Kapten Don Juan Arce de Sadornil. Namun akhirnya mereka berundur kerana melihat pertahanan Brunei yang terlalu kuat. Brunei kali ini memang telah bersedia dengan angkatan mereka. Hal ini menggerunkan Sepanyol. Sepanyol silap di dalam menilai orang Melayu Brunei. Padanya orang Brunei selemah orang Luzon dan Visayas yang setelah ditawan terus dapat menerima telunjuk Sepanyol dan agama Kristian. Brunei tetap mengekalkan Islamnya tetapi Manila hanya tinggal sejarah.
Pada tahun 1586 kerajaan Sepanyol serta ahli-ahli penasihat kerajaannya telah mengutuk tindakan yang dilakukan oleh De Sande. Kerajaan Sepanyol telah mengarahkan agar segala harta benda, kapal-kapal dan senjata-senjata api yang dirampas semasa penyerangan Brunei dipulangkan kembali kepada kerajaan Brunei dan satu dekri telah dikeluarkan agar De Sande berserta konco-konconya membayar ganti rugi. Hal ini bermaksud kerajaan Sepanyol mengiktiraf kedaulatan kerajaan Brunei dan takut sekiranya permusuhan dengan Brunei akan merugikan mereka kelak. Hal ini dapat dibuktikan apabila beberapa tahun kemudian satu delegasi secara aman dari Sepanyol di Manila telah dihantar ke Brunei bagi membincangkan hal ehwal perdagangan.
Nampaknya mereka memang takut kalau orang Melayu Brunei bangkit menyerang mereka. Bagi saya orang Sepanyol lebih bodoh dan gopoh dari orang British yang lebih licik dan bijak untuk menawan dan meracun pemikiran orang Melayu dengan tipu helah. Mereka sangka orang Melayu kita selemah orang-orang asli di Amerika selatan seperti Mayan, Aztec dan Inca? Walau segah manapun Piramid, Istana dan bangunan kuil-kuil yang dibina oleh Raja-raja Mesoamerica namun mereka tumbang dengan mudah kepada Sepanyol dan menjadi hamba di bumi sendiri. Begitu juga dengan kerajaan Islam di Al Andalus yang lenyap dan tinggal sejarah sahaja. Tetapi kita Bangsa Melayu masih punya institusi beraja yang berdaulat dan kukuh sehingga hari ini. Daulat Tuanku! Sekian wallah hu a’lam.
Klik SHARE Jika artikel ini bermanfaat...
~ASJ~
• Joaquin, Nick, Manila, My Manila: A History for the Young. City of Manila: Anvil Publishing, 1990.
• Saunders, Graham E, A history of Brunei, 2002.
• The Brunei Museum Journal, Brown, D. E., Spanish Accounts of their Expeditions against Brunei in 1578-79, volume 3, 180-221.
• John S Carroll, "Francisco de Sande's Invasion of Brunei in 1578: An Anonymous Spanish Account".
Kredit kepada : Rozlan Yusouf dan Ustaz Amin